Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Seramai 38 orang peserta telah menerima sijil penyertaan pada Majlis Penutup Bengkel Keberkesanan Rehalibitasai dan Reintegrasi Mengendalikan Rakan Seliaan (RS) yang berlangsung di Hotel J, Kiulap, hari ini.
Bengkel selama dua hari anjuran Persatuan Persatuan Pemedulian Sokongan Selepas Penjagaan (AFSA) itu merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan teknik bagi menangani pelbagai masalah RS bagi persatuan dan agensi kerajaan serta swasta.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel berkenaan ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden PENGASIH Malaysia, Hafizi Harun, Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhd Jaya, ahli-ahli AFSA, rakan-rakan
strategik dan peserta-peserta bengkel.
Dalam kata alu-aluannya, Hajah Juhana menyatakan penghargaan kepada PENGASIH Malaysia atas sokongan yang diberikan untuk menjayakan bengkel itu. Beliau juga menyatakan harapan agar hubungan antara Persatuan PENGASIH dan AFSA akan terus kukuh dan menjadi sumber inspirasi kepada para peserta.
Sementara itu, dalam rumusannya mengenai bengkel berkenaan, Hafizi menyeru semua peserta untuk mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel itu bagi memberikan manfaat dalam kerjaya, tugas serta kebaikan untuk negara.
Bengkel yang dikendalikan oleh dua orang penceramah daripada Persatuan PENGASIH Malaysia menumpukan kepada tatacara rehabilitasi yang terkini bagi membantu RS dan kaedah-kaedah reintegrasi semula ke arah yang lebih baik bagi RS berkenaan.
Penceramah berkenaan menghuraikan teknik dan kemahiran yang berkesan seperti yang diamalkan dan digunapakai di rantau ini.
Bengkel juga mendedahkan pengalaman di Pusat PENGASIH dalam pelbagai rawatan dan program yang dilaksanaka bagi membantu RS di pusat berkenaan.
Para peserta bengkel juga berpeluang membuatkan pembentangan hasil daripada kerja berkelompok dan perbincangan bagi meneliti kes-kes yang terdapat di sini.