Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Usaha memperkasa penulisan berteraskan undang-undang syariah terus diperkukuhkan apabila Jabatan Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Perundangan selama tiga hari berturut-turut bermula 20 hingga 22 Mei 2025 bertempat di Dewan Melor, Tingkat 2, KHEU.
Seramai 30 orang peserta telah menyertai bengkel ini, terdiri daripada pegawai-pegawai dari pelbagai bahagian di bawah KHEU, termasuk Jabatan Perundangan Islam, Bahagian Pendakwaan Syarie, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Pusat Dakwah Islamiah.
Turut memeriahkan bengkel ialah sesi perkongsian pengalaman penulisan dan penerbitan artikel, yang disampaikan oleh Pengarah Perundangan Islam, Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, merangkap pengerusi jawatankuasa kerja bengkel selaku tetamu kehormat, dan Pegawai Perundangan Syariah, Jabatan Perundangan Islam, Hajah Norhartijah binti Haji Puteh.
Bengkel berkenaan diadakan sebagai inisiatif meningkatkan tahap profesionalisme dan kredibiliti penulisan bahan terbitan berkaitan undang-undang, khususnya dari sudut teknik dan penggunaan gaya bahasa yang sesuai.
Antara pengisian utama bengkel ialah modul-modul yang memberi penekanan kepada teknik penulisan artikel perundangan, pendekatan penulisan yang berkesan serta pemilihan gaya bahasa yang tepat dan profesional.
Bengkel tersebut dikendalikan oleh dua orang fasilitator berpengalaman iaitu Prof Madya Dr Muhammad Zahiri Awang Mat, dari Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, dan Penterjemah Undang-undang dari Jabatan Perundangan Islam, Dr Ajeerah binti Haji Ismail.
Penganjuran bengkel itu diharapkan dapat memperkasa pengetahuan serta kemahiran peserta dalam menghasilkan artikel perundangan yang berkualiti tinggi, berkredibiliti dan tepat dalam penyampaian maklumat, sebagai salah satu usaha berterusan KHEU dalam mensosialisasikan undang-undang syariah kepada masyarakat umum.




