Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 peserta sertai Program YouLEARn

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 30 peserta belia yang menyertai Program Youth Learn, Empower and Advocate for a Resilient Environment (YouLEARn) Belia BRUNAS 2025 telah diraikan pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah serta sijil penghargaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.

    Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Pengiran Hajah Haryanti binti Pengiran Haji Petra dalam ucapan alu-aluannya menyatakan Program YouLEARn merupakan Fasa 1 Program Belia BRUNAS yang berbentuk kursus bengkel latihan selama lima hari bermula 21 hingga 25 Julai lalu.

    Program tersebut, katanya turut disertai oleh seramai 30 peserta beli daripada tujuh buah pasukan yang terdiri daripada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi, belia daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan-usahawan muda.

    Beliau menyatakan para peserta program tahun ini, telah didedahkan kepada isu-isu pencemaran plastik bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran-cabaran dan peluang serta inisiatif dalam menangani isu pencemaran plastik.

    Dayang Aldila menyampaikan anugerah kepada Kumpulan Kytar sebagai pemenang pertama Best Project Team. – GAMBAR SERAHAN JASTRE
    GAMBAR SERAHAN JASTRE
    GAMBAR SERAHAN JASTRE
    GAMBAR SERAHAN JASTRE

    Para peserta juga berpeluang melawat sambil belajar ke Syarikat Wan Sing Trading; pembuat dan pengedar bungkusan plastik tempatan, Syarikat Kawan Bumi Sdn Bhd, syarikat kitar semula botol-botol plastik terpakai dan Tapak Pelupusan Sungai Paku.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil oleh Dayang Aldila kepada semua peserta program diikuti dengan penyampaian hadiah kepada Kumpulan Verdant Collective selaku pemenang Best YouLEARn Team iaitu satu anugerah khas yang diberikan kepada pasukan yang telah memberikan prestasi yang terbaik dan proaktif.

    Pemenang tempat pertama bagi Best Project Team ialah Kumpulan Kytar yang membawa pulang trofi, wang tunai $500 dan sijil pencapaian.

    Manakala, tempat kedua disandang oleh Vil-Laju! Brunei yang membawa pulang trofi, wang tunai berjumlah $300 dan sijil pencapaian serta tempat ketiga ialah Verdant Collective yang membawa pulang trofi, wang tunai $200 dan sijil pencapaian.

    Sementara itu, bagi Pasukan Youth Green Actions for Innovation (YouGAIN) Catalyst telah dimenangi oleh dua kumpulan iaitu Kytar dan Vil-Laju! Brunei yang turut membawa pulang hadiah berjumlah $3,000.00 serta sijil pencapaian.

    Hadiah tersebut bakal digunakan untuk melaksanakan uji cuba atau ujian pilot cadangan projek mereka semasa Fasa 2: Program YouGAIN dalam tempoh 9 bulan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda