Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 sertai bengkel Asas Juruacara Majlis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Seramai 30 orang peserta yang mewakili Kelas Bimbingan Muslimah dari Zon 5 dan Masjid Negara telah menyertai Bengkel Asas Juruacara Majlis yang diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, hari ini.

    Bengkel berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali.

    Hadir sama semasa bengkel itu, Pegawai Ugama Kanan selaku Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

    Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada siri bengkel yang dikhususkan bagi Kelas Bimbingan Muslimah di bawah inisiatif memperkasa pembangunan diri wanita Muslimah secara holistik, selaras dengan peranan mereka yang semakin aktif dalam pelbagai majlis rasmi termasuk acara keagamaan.

    Antara lain tujuan bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan, latihan dan kemahiran kepada para peserta dalam mengendalikan majlis secara profesional dan berkesan.

    Di samping membina keupayaan mereka untuk berinteraksi secara beretika, efektif dan berkeyakinan di hadapan khalayak ramai.

    Pemudah cara bengkel itu, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas yang juga Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Hajah Nadhirah binti Haji Lahit.

    Melalui bengkel ini, peserta berpeluang mempelajari konsep pengacara secara formal dan tidak formal, kaedah penyusunan ayat serta penulisan skrip, selain didedahkan kepada gaya bahasa dan penggunaan intonasi yang betul.

    Dengan adanya bengkel ini, ia di hasrat dapat melahirkan Muslimah yang berkemahiran serta berkeupayaan mengendalikan majlis dengan teratur, lancar dan profesional.

    Gambar suasana Bengkel Asas Juruacara Majlis yang diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, hari ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda