Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 sertai bengkel pelestarian budaya

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Dalam usaha untuk terus memartabatkan budaya dan Bahasa Melayu Brunei dalam kalangan pelajar, Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan Bengkel Pelestarian Budaya dan Bahasa Melayu Brunei bagi pelajar BIBD ALAF di Inspiring Hall, UBD.

    Bengkel yang disertai oleh 30 pelajar itu memfokuskan kepada tiga tajuk yang berkaitan dengan Melayu Islam Beraja, Adat Istiadat Brunei dan Bahasa Melayu Brunei.

    Ketiga-tiga tajuk berkenaan telah disampaikan oleh tenaga-tenaga akademik daripada APB iaitu Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Pengiran Dr Hajah Siti Norainna binti Pengiran Haji Besar dan Haji Mohammad Rafee bin Haji Shahif.

    Menurut Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah semasa ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut berkata bengkel tersebut adalah sangat penting bagi rakyat dan penduduk negara ini dan merupakan satu platform untuk mendedahkan mereka mengenai penggunaan bahasa yang lebih baik untuk menghasilkan masyarakat yang bertamadun dan saling hormat-menghormati di antara satu sama yang lain.

    “Masyarakat Brunei juga terkenal dengan adat istiadat, adat resam yang menjadikan bangsa Brunei sebagai sebuah bangsa yang harmoni, di samping dapat memupuk semangat kekeluargaan.

    Oleh yang demikian, pembelajaran Bahasa Melayu perlu dipelajari oleh segenap masyarakat di negara ini.”

    Di samping itu, jelasnya lagi, pendedahan dalam penggunaan Bahasa Melayu Brunei juga sangat penting memandang Negara Brunei Darussalam memiliki adat istiadatnya yang tersendiri yang memerlukan rakyatnya untuk menggunakan bahasa-bahasa tertentu untuk berinteraksi bersama raja serta pembesar negara.

    Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil oleh tetamu kehormat kepada para pelajar BIBD ALAF yang menyertai bengkel tersebut.

    Tetamu kehormat menyaksikan sesi pembelajaran yang disertai oleh pelajar BIBD ALAF semasa Bengkel Pelestarian Budaya dan Bahasa Melayu Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda