Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Seramai 30 peminat teknologi rekaan permainan video berpeluang menyertai program latihan rekaan permainan, pengaturcaraan dan animasi yang dikendalikan dengan pembiayaan dan sokongan daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Serious Games Institute di George Mason University serta Company E, iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Washington D.C.
Sehubungan dengan itu, majlis perasmian program berkenaan telah dihadiri oleh Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland dalam majlis yang berlangsung di Brunei Innovation Lab, hari ini.

Program berkenaan disertai seramai 30 pelajar berusia antara 15 tahun hingga 40 tahun dengan pelbagai tahap pengalaman yang telah dipilih daripada jemputan terbuka seluruh negara bagi menyertai program berkenaan.
Para pelajar akan menjalani kursus pembelajaran jarak jauh selama 14 minggu, dilengkapi dengan komponen pembelajaran secara peribadi serta kerja kursus dua minggu sekali daripada fakulti George Mason University di mana mereka mempelajari mengenai peralatan utama dalam industri permainan video masa kini.
Pada majlis berkenaan, Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Khaterine Ntiamoah menyatakan bahawa terdapat bakat dan potensi dalam bidang berkenaan di Brunei dan oleh itu, pihaknya amat gembira untuk menyediakan peluang kepada warga Brunei untuk belajar daripada pendidik dan ahli kreatif yang luar biasa Amerika.
Beliau menyatakan harapan program berkenaan merupakan permulaan bagi kerjasama berpanjangan antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat dalam membina kapasiti untuk menangani keperluan era digital masa kini.
Manakala itu, ketua program berkenaan, Profesor Sang Um Nam berkata dengan pertumbuhan luar biasa teknologi permainan dan komputer yang diserlahkan dengan revolusi kecerdasan buatan (AI), ia adalah amat penting bagi mengetengahkan idea-idea baharu.

Dalam hubungan itu, tambahnya, program berkenaan merupakan sebuah usaha yang baik oleh Kedutaan Amerika Syarikat untuk berkolaborasi dan menyokong pembangunan sektor permainan digital di Brunei.
Sepanjang kursus berkenaan, para pelajar akan bekerjasama untuk membangunkan sebuah aplikasi menggunakan realiti maya (VR) untuk menggambarkan lokasi Brunei pilihan mereka, yang akan diketengahkan ke dalam Meta App Store.
Pengalaman Brunei berkenaan akan dimasukkan ke dalam SuperMuseum, sebuah pengalaman realiti maya yang dibangunkan oleh Company E dan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang akan seterusnya akan membuka pintu kepada ruang digital bagi orang ramai untuk bukan sahaja menyaksikan permukaan Marikh tetapi juga pengalaman Brunei dipilih.
Pengurus Program, Olga Sunyaikina dipetik menyatakan dengan mempunyai hasil yang ketara, ia menjadikan semua pengalaman itu benar walaupun ia hanya dalam ruang maya.
Semua itu, tambahnya, membuka idea bagi Wawasan Brunei 2035 dan industri pelancongan Brunei di mana mereka bukan berusaha dengan kapasiti sahaja tetapi juga dengan hasil praktikal dan inovasi selaras sekali gus membangunkan peluang hubungan antara usahawan belia Brunei dan pemimpin industri Amerika Syarikat.
Gambar oleh James Kon
