Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 syarikat taja Anugerah Pelangi ke-6

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Sebanyak 30 buah syarikat yang terdiri daripada pihak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, syarikat dan sektor swasta menaja dan memberi sumbangan bagi menjayakan Anugerah Pelangi ke-6 yang akan berlangsung pada 4 November nanti.

    Sehubungan itu, majlis penandatanganan perjanjian penajaan telah pun berlangsung di Studio Al Ansar Radio Televisyen Brunei (RTB) di ibu negara, hari ini.

    Menandatangani bagi pihak RTB ialah pengarahnya, Awang Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dan sementara itu syarikat-syarikat penaja ditandatangani oleh wakil masing-masing.

    Awang Muhammad Suffian semasa menyampaikan ucapannya menyatakan, sumbangan dan sokongan yang telah diterima ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang padu dalam sama-sama mengendalikan Anugerah Pelangi yang menjadi platform dalam mengangkat martabat dan memajukan lagi industri seni kreatif tanah air serta sebagai langkah untuk mengiktiraf keterlibatan insan seni baik di persada seni tanah air malahan di persada serantau dan antarabangsa.

    “Sejak Anugerah Pelangi mula diperkenalkan, kita telah berupaya melihat akan perkembangan pesat kemunculan penyanyi dan kumpulan band tanah air dengan lagu-lagu ciptaan mereka. Alhamdulillah, RTB sedikit sebanyak mampu melahirkan persona-persona bintang yang mampu mewarnai seni kreatif di tanah air,” ujarnya.

    Awang Muhammad Suffian menandatangani perjanjian penajaan bersama wakil Brunei Press Sdn Bhd.
    Awang Muhammad Suffian semasa menandatangani perjanjian penajaan bersama wakil Progresif.
    Awang Muhammad Suffian bertukar-tukar dokumen perjanjian penajaan bersama wakil Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

    Anugerah Pelangi juga mampu menjadi tanda aras yang akan menunjukkan kemampuan dan keupayaan bakat-bakat seni tanah air.

    “Kita telah melihat keterlibatan mereka dalam bidang seni sehingga ada yang dapat melangkah lebih jauh dengan aktif di bidang ini di luar negara,” tambah beliau.

    Anugerah Pelangi kali ini telah memilih 60 buah lagu bagi enam kategori iaitu Artis Baru Pilihan, Wanita Pilihan, Lelaki Pilihan, Vokal Lelaki Pilihan, Vokal Duo/Kumpulan Pilihan, Lagu Pilihan 2014-2015, Lagu Pilihan 2016-2017 dan Artis Baru Pilihan, yang mana nanti akan dipilih sebagai Top 10.

    Awang Muhammad Suffian melahirkan harapan agar Anugerah Pelangi ini terus menjadi wadah dalam memartabatkan seni di tanah air dan adalah menjadi tanggungjawab RTB untuk melindungi kesejahteraan agar lagu atau apa saja bentuk karya dihasilkan terpelihara.

    “Kerana itu, perundingan dengan pihak berwajib masih berjalan agar apa pun karya anak tempatan akan dilindungi hak ciptanya,” ujarnya.

    Beliau menyeru agar masyarakat di negara ini melihat industri seni kreatif sebagai penyumbang kepada kesejahteraan negara melalui sumbangan kepada bidang kesenian, kebudayaan dan juga perekonomian.

    Secara purata, jelasnya, industri kreatif di negara-negara maju menyumbang antara satu sehingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Industri kreatif juga telah menyumbang kepada peluang pekerjaan yang luas.

    “Ke depan, industri kreatif khususnya diyakini akan menjadi primadona berdasarkan kepada khidmat tenaga yang berasaskan pada kreativiti, lebih sedikit menggunakan sumber daya alam dan menjanjikan keuntungan lebih tinggi. Ketiga faktor di atas juga ditopang oleh ketersediaan sumber daya manusia (SDM) yang berlimpah dan tidak mustahil negara kita secara whole of nation approach akan dapat mengambil peluang terhadap kelebihan tersebut,” tambah beliau.

    Majlis penandatanganan perjanjian penajaan itu diteruskan lagi dengan penyampaian sijil penghargaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda