Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Seramai 30 peminat dan pendengar setia siaran Nasional FM, Pilihan FM (Inggeris dan Mandarin), Pelangi FM, Harmoni FM dan Nur Islam di stesen Radio Televisyen Brunei (RTB) hari ini menerima hadiah Kuiz Raya SMS Radio.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Bangunan RTB, Bandar Seri Begawan.
Haji Muhammad Suffian dalam ucapannya mengatakan kuiz tersebut merupakan satu usaha RTB mempelbagaikan kaedah mendekati masyarakat pendengar yang mempunyai cita rasa, jangkaan dan latar belakang yang berbeza.
Program juga diharap dapat mengajak para pendengar untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi program di kesemua rangkaian radio RTB.

“Berdasarkan sambutan para audiens, dapat dirumuskan bahawa 96.5 peratus penduduk suka mendengar radio dan daripada jumlah itu, 89.6 peratus adalah para pendengar yang mengikuti rancangan-rancangan siaran RTB,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar warga RTB terus mencari kaedah agar rancangan-rancangan yang disiarkan sentiasa menarik minat orang ramai, bersesuaian dengan peranan RTB untuk menghibur, mendidik dan memberi maklumat.
Majlis penyampaian hadiah itu turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Ziarah Raya @Radio’.