PUTRAJAYA, 31 MEI – Sebanyak 30 trak bergerak vaksinasi akan diaktifkan, di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tapak pembinaan di ibu negara, bagi mempercepat proses pemberian vaksin COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata projek rintis trak bergerak vaksinasi itu, akan dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat di kawasan berkepadatan tinggi, serta tapak pembinaan yang masih beroperasi ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, yang bermula esok.
Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini, Khairy berkata setiap trak bergerak itu mampu memberikan 100 suntikan.
Khairy berkata, pendaftaran untuk menerima vaksin COVID-19 telah menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus, iaitu 12,117,091 pendaftaran setakat ini daripada populasi 18 tahun ke atas.
“Pendaftaran meningkat mendadak disebabkan kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Jadi rakyat mempunyai kesedaran untuk dapatkan vaksin sebagai perlindungan, dan ia kini menjadi satu perkara mendesak,” katanya.
Mengenai perkembangan perolehan vaksin lain dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy berkata vaksin CanSinoBIO dan Sputnik V kini dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). “Untuk vaksin CanSinoBIO, pihak pembekal telah berikan jawapan kepada semua soalan dan maklumat diperlukan NPRA minggu lepas, dan kita telah minta untuk dipercepatkan,” katanya, manakala bagi Sputnik V, Dr Adham akan menandatangani perjanjian dengan Duopharma Biotech Bhd bagi tujuan perolehan. – Bernama