Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    300 aktivis pelajar bantah kematian penulis

    DHAKA, BANGLADESH, 1 MAC – Kira-kira 300 aktivis pelajar mengadakan rapat di ibu negara Bangladesh hari ini untuk mengecam kematian seorang penulis dan pengulas yang ditahan pada tahun lalu atas dakwaan mencabul undang-undang keselamatan digital.

    Pembantah berarak menerusi kampus Universiti Dhaka dan jalan raya Dhaka ke arah Kementerian Dalam Negeri untuk menuntut pembatalan undang-undang keselamatan digital serta pembebasan tujuh aktivis pelajar yang ditahan semasa bantahan terbaharu yang mengecam kematian Mushtaq Ahmed, 53 tahun.

    Mereka merempuh penghadang dengan mengalih pagar dawai berduri dalam perjalanan ke kementerian, tetapi dihalang oleh ratusan polis di luar kementerian di pusat bandar Dhaka.

    “Kerajaan mesti bertanggungjawab. Dia telah dibunuh, ia bukan kematian semula jadi. Bagaimana dia ditahan selama sembilan bulan dalam penjara tanpa sebarang pengadilan,” kata seorang pembantah, Mahfuza Akhter.

    Kematian Ahmed pada malam Khamis mencetuskan bantahan di jalan dan media sosial, dan mendorong kumpulan hak manusia, termasuk Pemerhati Hak Asasi Manusia dan Amnesti Antarabangsa, menggesa kerajaan Bangladesh supaya mengadakan satu siasatan menyeluruh. Jawatankuasa Melindungi Wartawan berpangkalan di New York atau CPJ, menuntut kerajaan membatalkan akta keselamatan itu.

    Ahmed ditahan di Dhaka pada Mei tahun lalu kerana membuat komen di media sosial yang mengkritik pengendalian kerajaan terhadap pandemik koronavirus. Dia tidak dibenarkan ikat jamin enam kali. Sekurang-kurangnya 10 orang lain juga didakwa menghasut di bawah undang-undang keselamatan digital dalam kes yang sama dihadapi Ahmed. – AP

    Polis bertempur dengan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh pada hari ketiga bantahan ekoran kematian MushtaqAhmed, penulis dan pengkritik kerajaan dipenjarakan, di depan Kelab Akhbar Nasional di Dhaka kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda