Sunday, October 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    300 bakal jemaah umrah PGGMB sertai taklimat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 300 bakal jemaah umrah yang mengikuti perkhidmatan umrah PGGMB Travel Service Sdn Bhd telah menghadiri Taklimat Bimbingan Umrah hari ini.

    Taklimat yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Sungai Akar itu antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam mengenai ibadat umrah kepada para jemaah umrah PGGMB sebelum berangkat ke tanah suci Oktober ini.

    Hadir pada sesi taklimat itu ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman, Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Mohd Ali serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB dan bakal-bakal jemaah umrah tahun ini.

    Sesi taklimat diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Pegawai Unit Kaunseling di Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam yang antara lain menggariskan cara pengurusan dan perjalanan di sepanjang mengerjakan ibadah umrah dengan lebih baik dan teratur.

    Di majlis itu, para jemaah juga mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh syarikat pengendali Pakej Umrah yang dilantik oleh PGGMB untuk mengendalikan dan membimbing jemaah semasa di tanah suci nanti.

    Dengan adanya taklimat itu, ianya diharap akan mendatangkan manfaat kepada semua jemaah sebelum dan sesudah menunaikan ibadah umrah, dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Kumpulan pertama para jemaah akan bertolak pada 24 Oktober dan akan diteruskan dengan beberapa kumpulan lain sepanjang bulan Disember ini.

    Yang Dipertua PGGMB, Haji Abdul Alim hadir selaku tetamu kehormat.
    Haji Sammali menyampaikan taklimat.

    Antara yang hadir ke taklimat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda