Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Hampir 300 orang guru dari 19 buah sekolah agama Kawasan Brunei IIB menyertai acara Sukaneka sempena Sambutan Hari Guru ke-33 tahun 2023, kelmarin.
Sukaneka anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IIB (JPSSU Brunei IIB) khusus bagi guru-guru agama Kawa-san Brunei IIB itu berlangsung di Padang Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.
Sebanyak 19 aktiviti sukaneka telah disusun sebagai pengisian acara yang dikendalikan oleh setiap sekolah agama.
Hadir sebagai tetamu khas ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Kawasan Brunei IIB, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Hady bin Bukhari dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Acara diungkayahkan bagi memupuk persefahaman, semangat kerjasama dan ukhuwah serta mengukuhkan silaturahim dalam kalangan guru, di samping sebagai galakan kepada para guru untuk bergiat aktif dalam bidang aktiviti fizikal bagi memelihara kesihatan tubuh badan dan mental.