MOSCOW, 8 JAN – Rusia telah memindahkan kira-kira 300 penduduk Belgorod, sebuah bandar berhampiran sempadan Ukraine, kerana serangan oleh Kyiv, kata gabenor wilayah itu pada ini.
“Kira-kira 300 penduduk Belgorod, yang memutuskan untuk berpindah sementara, kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Stary Oskol, Gubkin dan daerah Korochansky” yang jauh dari sempadan, kata gabenor wilayah Belgorod Vyacheslav Gladkov dalam video yang disiarkan di Telegram.
“Sepanjang 24 jam lalu, kami menerima 1,300 permintaan untuk menghantar kanak-kanak Belgorod ke kem sekolah yang jauh dari bandar, di wilayah lain,” katanya.
Pada hari Jumaat, Gladkov menawarkan penduduk Belgorod untuk berpindah dari bandar itu, yang terletak kurang daripada 20 batu (32 kilometer) dari sempadan Ukraine dan yang telah diserang lebih kuat dari Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pemindahan dari Belgorod adalah yang terbesar di bandar utama Rusia sejak Moscow memulakan apa yang dipanggil operasi ketenteraan khasnya di Ukraine pada Februari 2022.
Pada 30 Disember, serangan Ukraine ke atas bandar itu mengorbankan 25 orang, jumlah kematian orang awam paling teruk di Rusia sejak permulaan permusuhan.
Serangan Ukraine berikutan pengeboman besar-besaran oleh Moscow di seluruh Ukraine, serangan seumpama itu terbesar sejak minggu pertama konflik, yang mengorbankan 30 orang. – AFP


