Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    300 pelajar hadiri ceramah pelajari teknik istiqamah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC- Ceramah motivasi bertajuk 5M untuk Istiqamah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Belia Masjid Ash-Shaliheen kelmarin mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran lebih kurang 300 para pelajar Tahun 10 dan 11 sekolah berkenaan.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.

    Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengetua sekolah berkenaan iaitu Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, dan diikuti dengan ceramah motivasi.

    Ceramah yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Harapandi Dahri menghuraikan 5M sebagai lima elemen utama bagi membina diri dan istiqamah dalam kehidupan seharian iaitu Muhasabah: refleksi diri dalam memperbaiki hubungan dengan Allah SWT; Muraqobah: menyedari pengawasan Allah dalam setiap aspek kehidupan; Mu’ahadah: mengingat perjanjian dengan Allah sebagai hambaNya; Mu’aqobah: mendisiplinkan diri dengan hukuman positif apabila gagal mencapai matlamat ibadah dan Mujahadah: bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amalan kebaikan dan ibadah.

    Ceramah berkenaan adalah sebagai salah satu pengisian program qiamullail yang dikendalikan oleh pihak sekolah untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadah-ibadah seperti mendirikan sembahyang-sembahyang Fardhu dan Sunat Tarawih secara berjemaah, membaca Al-Quran, zikir dan tahlil, serta iftar dan sahur beramai-ramai.

    Di samping untuk meraih keberkatan di bulan Ramadan, program qiamullail tersebut juga bertujuan mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan warga sekolah serta memelihara kesejahteraan minda dan rohani serta sebagai wadah mendidik para peserta untuk menjadi insan bertaqwa yang memelihara tanggungjawab duniawi dan ukhrawi.

      Semua di atas: Antara suasana semasa ceramah berkenaan.

    Pengiran Mohamad Aminuddin menyampaikan cenderahati kepada penceramah Dr Haji Harapandi Dahri.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda