Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Seramai 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di seluruh negara, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, rakan-rakan strategik serta orang ramai, sama-sama mengambil bahagian dan memeriahkan lagi acara Walkaton Warga Emas (Walkatonmas) yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Acara anjuran Pertubuhan WARGAMAS dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025 itu bermatlamat untuk menggalakkan konsep penuaan yang sihat melalui gabungan aktiviti riadah, kesihatan, perpaduan dan kemasyarakatan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan rakan-rakan strategik KKBS.
Pada acara berkenaan, sesi senaman ringan bagi pemanasan badan diketuai oleh tiga orang jurulatih kecergasan terdiri daripada Awang Kamarul Ikhsan Aspar dari Functional Movement BN; Dr Hajah Asmah binti Haji Hussaini dari Universiti Brunei Darusaalam (UBD); dan Dr Sharimawati binti Haji Sharbini dari UBD.



Aktiviti itu bertujuan untuk menyediakan para peserta dari segi fizikal sebelum memulakan walkaton. Selepas sesi pemanasan badan, para peserta memulakan acara walkaton dengan mengelilingi kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah sebanyak tiga pusingan iaitu dengan jarak keseluruhan sejauh 1.9 kilometer.
Acara itu turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peserta yang bertuah.
Bagi melengkapkan acara berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi juga dijemput untuk melawat tamu bulanan Pertubuhan WARGAMAS, yang menampilkan pelbagai jualan makanan dan minuman hasil usaha ahli pertubuhan.
Acara Walkatonmas itu turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah UBD, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Sukarelawan UBD, D’Sunlit Sdn Bhd, Gardenia Food Industries serta Hotel Starlodge.

