Wednesday, December 18, 2024
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    300 sertai kempen kebersihan anjuran MTIC

    Oleh Sim Y. H

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Sebanyak kira-kira 1,000.1 kilogram sampah berjaya dikumpulkan semasa Kempen Kebersihan Senegara 2024 yang disertai kira-kira 300 orang di Kampung Tamoi, Daerah Brunei-Muara, hari ini.

    Hadir dan sama-sama mengambil bahagian dalam kempen berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Lumapas, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, setiausaha tetap di MTIC, timbalan setiausaha tetap (pengangkutan), pemangku timbalan setiausaha tetap (infokomunikasi), pemangku pegawai daerah Brunei dan Muara, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan dan agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya serta penduduk dan belia kampung berkenaan.

    Kempen berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Penolong Pengurus di Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komuniksa Negara Brunei Darussalam (AITI), Haji Mohammad Nurhafiz bin Haji Abdul Rahman dan diikuti dengan taklimat ringkas oleh wakil Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

    Dengan kutipan sampah yang tinggi berkenaan, ia jelas mencerminkan semangat kerjasama, kesedaran dan kepemedulian terhadap kebersihan alam sekitar selain bertujuan memupuk nilai rasa tanggungjawab di kalangan penduduk kampung dan orang awam mengenai kepentingan suasana persekitaran yang bersih dan bebas pencemaran.

    Kempen berkenaan merupakan salah satu usaha bersepadu dalam sama-sama menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar serta mengeratkan silaturahim dan meningkatkan perpaduan antara warga MTIC dan penduduk setempat.

    YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut serta dalam kempen kebersihan berkenaan.
    Gambar ramai antara YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dengan sebahagian para peserta dalam kempen kebersihan berkenaan.

    Semua di atas: Antara yang mengambil bahagian menjayakan kempen kebersihan berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda