MANILA, 6 JAN – Kira-kira 300 warga Afghanistan tiba di Filipina hari ini untuk tinggal sementara waktu, semasa proses pemindahan mereka ke Amerika Syarikat (AS), menurut kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Filipina dan AS.
Perjanjian antara Filipina dan AS yang dimeterai Julai lalu membenarkan ratusan warga Afghanistan tinggal di Manila sementara visa Pendatang Khas AS mereka diproses.
Namun, perjanjian itu menerima tentangan domestik di negara yang majoritinya Katolik berhubung isu keselamatan dan kebimbangan lain.
“Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri (DFA) telah mengeluarkan visa kemasukan Filipina yang sesuai kepada pemohon itu mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” kata jurucakap DFA Filipina, Teresita Daza, dalam satu kenyataan.
“Semua pemohon telah melalui saringan keselamatan oleh agensi keselamatan negara Filipina.”
Seorang pegawai Jabatan Negara AS, yang enggan dikenali tidak menyatakan jumlah spesifik tetapi mengesahkan ‘sehingga 300’ individu terlibat.
Berdasarkan perjanjian tersebut, kerajaan AS akan menanggung kos penginapan rakyat Afghanistan di Manila, termasuk makanan, tempat tinggal, rawatan perubatan, keselamatan dan pengangkutan, seperti yang dinyatakan oleh DFA Filipina.
Warga Afghanistan akan ditempatkan di kemudahan yang dikendalikan oleh Penyelaras Usaha Pemindahan Afghanistan Jabatan Negara AS, menurut kenyataan Kedutaan AS sebelum ini.
Daza sebelum ini memaklumkan bahawa tempoh penginapan mereka tidak boleh melebihi 59 hari dan akan ‘dikuarantin di kemudahan penginapan’ kecuali untuk temu duga kedutaan. Semua pemohon telah menjalani saringan perubatan semasa berada di Afghanistan. – AFP