300 warga asing gagal hadiri slot vaksinasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebanyak 1,000 slot vaksinasi telah disediakan untuk pekerja asing di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dari pukul 2 petang hingga 8 malam, kelmarin, bagaimanapun hampir 300 orang tidak hadir.

Oleh itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengharapkan kerjasama daripada syarikat-syarikat yang mana pekerjanya tidak dapat hadir bagi menjalani vaksinasi pada hari-hari yang ditentukan tersebut agar
dapat memaklumkan lebih awal supaya slot vaksin tersebut dapat diberikan kepada syarikat yang lain.

Syarikat-syarikat perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan mempercepatkan program vaksinasi di negara ini, tambah beliau semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham juga mengongsikan bahawa semasa program vaksinasi bagi para pekerja asing itu, ujian saringan ART COVID-19 yang dilaksanakan mendapati empat orang positif COVID-19, namun hanya tiga orang daripadanya disahkan positif setelah menjalani ujian swab sekali lagi.