Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 3,000 individu terpilih dalam kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah melengkapkan dua dos vaksin akan dijemput untuk menyertai kajian mengenai tahap antibodi peneutralan yang dihasilkan oleh vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk negara bermula pada 29 November.
“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Duke-NUS Medical School Singapura, dan EVYD Technology akan menjalankan satu kajian mengenai tahap antibodi peneutralan yang dihasilkan oleh vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa kajian itu dibuat untuk membandingkan perlindungan imuniti atau immunogenicity vaksin-vaksin berkenaan yang mana hasil dapatan daripada kajian berkenaan akan dapat membantu dalam perangkaan strategi bagi program penggalak vaksin COVID-19 serta untuk mengoptimumkan strategi kesihatan awam dalam mengawal pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
“Dalam hal ini, bermula Isnin, 29 November, seramai 3,000 individu terpilih di kalangan penduduk yang telah melengkapkan vaksin sepenuhnya dengan dua dos vaksin COVID-19 iaitu sama ada vaksin Sinopharm, Oxford-AstraZeneca atau Moderna akan dijemput melalui mesej pesanan ringkas untuk mengambil bahagian dan hadir bagi ujian darah di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD.”
Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa para peserta juga akan menerima perjanjian susulan selepas mereka menerima dos penggalak untuk menilai kesan dos tambahan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai yang terpilih untuk memberikan kerjasama dengan menyertai kajian itu nanti.