Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 305 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, dan mengetuai membaca Surah Al-Fatihah.
Majlis ini adalah ke arah melahirkan rakyat celik Al-Quran dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu amalan harian serta merealisasikan hasrat pembentukan “Generasi Al-Quran” dan “Negara Zikir”.



Turut hadir, para jemputan khas dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar yang diraikan.
Penganjuran majlis ini membawa harapan agar para pelajar sentiasa dekat dengan Al-Quran, menjadikannya panduan dalam setiap langkah kehidupan dan pedoman hingga ke akhir zaman.
Di samping itu, majlis ini juga menjadi wadah untuk mengukuhkan ukhuwah serta semangat bekerjasama antara warga sekolah dan ibu bapa demi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Majlis kemudian dimulakan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan diikuti dengan bacaan Takhtim Al-Quran oleh pelajar-pelajar Tahun 10.



Disusuli dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani, salah seorang peserta Khatam.
Majlis diserikan lagi dengan bacaan Dikir Marhaban oleh pelajar-pelajar Tahun 10 dan kemudian bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Muhamad Mahathir bin Haji Adi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran dan merenjis minyak wangi yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis.
