Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Pelancaran Rancangan Kemajuan Negara ke-12 (RKN12) menandakan satu langkah penting dalam usaha kita merealisasikan Wawasan Negara 2035.
RKN12 bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun tetapi merupakan komitmen negara yang disusun secara menyeluruh, selaras dengan hala tuju pelan tindakan setiap matlamat wawasan dan pelan-pelan industri yang telah disediakan oleh agensi-agensi berkaitan. Ia menjadi landasan utama bagi pembangunan negara yang menyeluruh dan mampan.
Dengan membawa tema, Mengukuhkan Pembangunan Sosioekonomi bagi Menjamin Kesejahteraan dan Keharmonian Negara, ia mencerminkan komitmen untuk memacu pertumbuhan ekonomi sementara menjaga kesejahteraan rakyat.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dalam kata alu-aluannya di Majlis Pelancaran dan Pameran RKN12 yang berlangsung di Dewan Teater, MOFE, hari ini.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa enam teras utama telah dikenal pasti sebagai hala tuju pelaksanaan projek-projek RKN12 dengan teras pertama, meningkatkan kualiti pendidikan melalui pengukuhan infrastruktur dan sistem pendidikan yang sistematik. Ia menumpukan kepada penyediaan infrastruktur dan sistem pendidikan bagi menyokong akses, produktiviti dan keberkesanan institusi pendidikan.
Teras kedua pula melahirkan tenaga kerja selaras dengan keperluan industri di mana ia menekankan kepentingan melahirkan rakyat yang inovatif, produktif dan mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri manakala teras ketiga, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dalam menangani perubahan iklim di mana teras itu mengukuhkan komitmen negara untuk memastikan pembangunan yang seimbang, selaras dengan usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Teras keempat, iaitu mengukuhkan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat yang berdaya tahan di mana ia menekankan usaha memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang selamat, sejahtera dan terjamin melalui pelbagai projek yang menyokong keperluan asas dan memperkukuh daya tahan negara.
Teras kelima iaitu meningkatkan sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada ekonomi negara yang menumpukan penyediaan infrastruktur asas sebagai landasan untuk memperkukuh dan mempercepat pertumbuhan sektor bukan minyak dan gas ke arah ekonomi yang lebih mampan serta teras keenam membabitkan pengukuhan pengurusan kerajaan bagi pentadbiran awam yang efisien dan kondusif bertujuan meningkatkan sistem pengurusan perkhidmatan awam supaya memudahcara urusan perniagaan melalui tadbir urus yang cekap dan responsif.
Dr Hajah May Fa’ezah menambah dengan harga rancangan berjumlah $4 bilion bagi tempoh lima tahun, sebanyak 305 buah projek akan dilaksanakan di bawah RKN12.
Bagi mendukung sektor perindustrian dan perdagangan, sebanyak 28 projek akan dilaksanakan; bagi sektor pendidikan, 31 projek; sektor kesihatan membabitkan enam projek manakala 10 projek akan bertumpu di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait bagi sektor perumahan negara. Bagi hal ehwal agama akan melibatkan 12 projek dan bagi pengangkutan dan perhubungan, sebanyak 25 projek berkaitan dengan penaiktarafan jalan raya dan pembinaan jejambat akan dilaksanakan.
Sementara itu, sebanyak 53 projek akan dilaksanakan bagi kemudahan asas, bekalan air dan elektrik dan bagi teknologi info-komunikasi pula membabitkan 31 projek. Seiring dengan komitmen negara terhadap kelestarian alam sekitar, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan khas untuk mendukung agenda kelestarian melalui pelaburan dalam Bangunan Hijau.
Beliau menekankan kejayaan RKN12 memerlukan pendekatan senegara yang melibatkan kerjasama erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan juga masyarakat awam.
“Komitmen padu daripada pemilik-pemilik projek, termasuk pemantauan petunjuk prestasi utama (KPI) secara berkesan, amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek-projek berjalan lancar dan menepati jadual,” tambahnya.