BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperuntukkan lebih $30 juta untuk menangani kesan bencana alam, di mana lebih kurang 50 peratus projek telah selesai sepenuhnya, manakala selebihnya sedang dalam peringkat perlaksanaan dan dalam proses tawaran.
Bagi meninjau secara lebih dekat projek-projek yang sedang dilaksanakan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin telah membuat lawatan ke beberapa buah tapak membaiki tanah susur dan kawasan dilanda banjir di Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Sekitar 60 buah projek sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan yang tertumpu pada kawasan-kawasan yang ditimpa bencana alam seperti tanah susur dan banjir. Pada setiap tahun, negara ini akan mengalami kejadian banjir dan tanah susur terutama apabila tibanya musim tengkujuh yang boleh menyebabkan kerosakkan kemudahan awam seperti jalan raya, harta benda dan kehilangan nyawa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR, antara lain objektif lawatan berkenaan adalah untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek-projek berkenaan dan memastikan ianya berjalan dengan lancar. Selain itu ianya juga adalah untuk memastikan projek-projek berkenaan menepati kualiti dan perlaksanaan projek-projek siap dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.
Bagi meninjau secara lebih dekat lagi, Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga telah mengambil kesempatan membuat lawatan penilaian awal ke kawasan-kawasan banjir dan tanah susur yang memerlukan tindakan lanjut.
Turut hadir semasa lawatan kerja berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan JKR.
