Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    30kg sayap, 15 paket tongkeng ayam berjaya dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Sebanyak 30 kilo sayap ayam dan 15 paket tongkeng ayam yang cuba diseludup masuk dari negara jiran melalui perairan negara berjaya dirampas oleh Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), petang kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, pada kejadian tersebut, bot peronda POLMAR telah mengesan sebuah perahu dengan dua orang individu di dalamnya bergerak laju di sungai Putat dalam keadaan mencurigakan.

    Anggota peronda terus bertindak memintas perahu tersebut bagi tujuan pemeriksaan.

    Setelah menyedari kehadiran polis, perahu suspek terus bertindak melarikan diri daripada ditahan dan satu aksi kejar-mengejar telah berlaku sehingga perahu suspek memasuki kawasan air cetek di belakang perumahan Kampung Bolkiah dan kedua-dua suspek berkenaan telah melarikan diri di kawasan darat kampung itu.

    Dengan bantuan bot dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), perahu suspek telah berjaya ditunda keluar dari kawasan itu berkenaan.

    Hasil pemeriksaan awal menemui beberapa kotak dipercayai mengandungi makanan mentah yang dibawa dari negara jiran.

    Barang tegahan dan perahu dibawa ke POLMAR untuk siasatan lanjut, kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut.

    PPDB akan sentiasa mempertingkatkan rondaan bagi memastikan keselamatan negara terutama di kawasan sempadan negara daripada kegiatan jenayah dan menyeru orang ramai tidak melibatkan diri perbuatan yang menyalahi undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    Di kesempatan ini, PPDB ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai apa jua kegiatan jenayah ke PPDB melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

    Sayap dan tongkeng ayam yang cuba diseludup yang berjaya dirampas oleh PPDB. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Perahu yang dirampas oleh pihak penguat kuasa. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda