Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    31 agensi pelancongan Jepun sertai sesi rangkaian

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sebanyak 31 buah agensi pelancongan Jepun telah menyertai sesi rangkaian dengan delegasi Negara Brunei Darussalam yang merangkumi wakil-wakil dari Jabatan Kemajuan Pelancongan dan ejen-ejen pelancongan tempatan untuk mempromosikan rangkaian dan memupuk hubungan berharga yang berlangsung di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, hadir semasa sesi berkenaan dan menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif Japan Association of Travel Agents (JATA), wakil-wakil dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Tutiaty menyatakan bahawa berikutan pelonggaran sekatan perjalanan di seluruh dunia, syarikat penerbangan negara, RB telah memulakan penerbangan empat kali seminggu ke dan dari Narita di mana terdapat 2,001 ketibaan udara dari Jepun dicatatkan hanya bagi separuh pertama tahun ini di mana ia menunjukkan pemulihan dan peningkatan yang menggalakkan.

    Beliau juga mengongsi mengenai matlamat utama sesi berkenaan iaitu untuk memudahkan kerjasama dan menjana hubungan kukuh antara Brunei dan Jepun dalam bidang pengembaraan dan pelancongan serta memupuk peluang bagi pertumbuhan dan kejayaan bersama.

    Antara yang menyertai sesi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Sesi rangkaian yang berlangsung di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Dalam ulasannya lagi, Hajah Tutiaty menggalakkan ejen-ejen Brunei dan Jepun untuk mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil serta menjana pakej-pakej baharu serta menarik yang akan membolehkan pelawat-pelawat Jepun untuk mendalami warisan budaya kaya dan alam semula jadi di Negara Brunei Darussalam.

    Antara agensi yang menyertai sesi rangkaian berkenaan ialah Hankyu Travel International, JTB Corp, Reiwa Travel, Travel Standard Japan, Keio Travel Japan, ASEAN-Japan Centra serta JATA.

    Menyertai Jabatan Kemajuan Pelancongan semasa sesi itu ialah RB, The Empire Brunei, Darussalam Services, Pan Bright Travel Services dan Bonasia Holiday Management Services Sdn Bhd.

    Penyertaan Jabatan Kemajuan Pelancongan pada Ekspo Pelancongan Jepun 2023 di Osaka, Jepun minggu lalu telah menarik minat beberapa agensi dalam industri pelancongan Jepun dan orang ramai untuk meneroka pelbagai tawaran Negara Brunei Darussalam.

    Bermula 26 hingga 29 Oktober, Jabatan Kemajuan Pelancongan meneruskan usahanya di ekspo berkenaan untuk meningkatkan keterlihatan perkhidmatan pelancongan ke Brunei dan menggalakkan lebih ramai pelancong Jepun untuk meneroka pelbagai tawaran menarik yang terdapat di negara ini.

    Jabatan itu berhasrat bagi pertukaran pengetahuan, menggalakkan pengayaan kebudayaan serta menarik lebih ramai pelancong Jepun untuk berkunjung ke Brunei.

    Di samping sesi rangkaian berkenaan, Sesi Konsultasi Satu-sama-Satu dengan Japan School Tours Bureau di Tokyo juga telah diadakan hari ini.

    Sesi itu bermatlamat untuk membantu ejen pelancongan tempatan memahami mengenai pasaran pendidikan Jepun serta pada masa yang sama, mendalami prospek bagi usaha kumpulan pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda