Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Berdasarkan statistik Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), sebanyak 31 kes bunuh diri telah dilaporkan berlaku dari tahun 2014 hingga awal November 2017.
Perangkaan ini dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan PDB, ACP Pengiran Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid semasa sidang media, baru-baru ini.
Menurut beliau, kes berkenaan melibatkan 27 orang lelaki dan empat orang perempuan dengan majoriti cara/modus operandi bunuh diri adalah dengan menggantung diri.
Daripada jumlah kes bunuh diri dengan cara menggantung diri, sembilan orang adalah warga tempatan, sembilan warga Filipina, enam warga India, dua warga Thailand, dua warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh. Manakala itu, seorang lagi telah membunuh diri dengan terjun dari bangunan.
Perangkaan itu termasuk satu kes terbaru, seorang pekerja asing warga Filipina yang ditemui tergantung di kediamannya di Jalan Serasa, Muara.
ACP Pengiran Haji Mohd Jefri memberitahu, Pasukan PDB telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 3 November, jam 8:20 malam.
Menurut beliau lagi, punca menggantung diri rata-ratanya disebabkan tekanan jiwa/kemurungan dan menanggung bebanan hutang di negara masing-masing.
Dalam perkara ini, Pasukan PDB tidak mengambil ringan kejadian-kejadian berkenaan, yang mana usaha untuk mencari penyebab-penyebab utama kejadian dan seterusnya mengatasi secara menyeluruh sentiasa dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, usaha pengurangan kes bunuh diri tidak terletak pada Pasukan PDB seluruhnya dan ia memerlukan kerjasama yang berterusan daripada pihak-pihak berkepentingan.
Pasukan PDB juga mengingatkan masyarakat awam dan juga pekerja-pekerja asing yang mencuba untuk membunuh diri, bahawa ia menjadi satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 309 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang mana membawa hukuman satu tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pakar Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Dr. Abang Benett bin Abang Taha.