JOHANNESBURG, 23 JUN – Sekurang-kurangnya 31 orang disyaki pelombong haram dipercayai maut bulan lepas dalam lombong emas Afrika Selatan yang terbiar, kata kerajaan pada Jumaat.
Kematian berlaku dalam syaf pengudaraan di tapak terbiar di bandar perlombongan emas Welkom, 260 kilometer dari Johannesburg, kata Jabatan Sumber Mineral dan Tenaga (DMRE). Mangsa maut dipercayai pelombong haram yang datang dari negara jiran Lesotho, sebuah kerajaan kecil yang dikelilingi sepenuhnya oleh Afrika Selatan, katanya.
“Kami menerima laporan bahawa pelombong haram lain yang disyaki telah membantu mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga mayat, jadi 28 dipercayai masih berada di lombong itu,” kata jurucakap DMRE Ernest Mulibana kepada AFP. Kematian mungkin berlaku pada 18 Mei, walaupun puncanya masih tidak diketahui. Pasukan pencari belum dihantar ke syaf lombong atas sebab keselamatan, kata Mulibana.“Memandangkan paras metana yang tinggi, pada masa ini berisiko untuk sesiapa sahaja turun ke sana,” katanya.
Kementerian luar Lesotho memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan di Maseru pada 10 Jun, tetapi insiden itu hanya diumumkan oleh Pretoria dalam satu kenyataan semalam. Sebab kelewatan itu tidak diketahui.
Lombong itu sebelum ini dimiliki oleh Harmony Gold Mining Company, salah satu pengeluar terbesar di Afrika Selatan. – AFP


