PHNOM PENH, 8 JULAI – Seramai 31 orang maut dipanah petir pada separuh pertama 2025 di Kemboja, menurun 31 peratus daripada 45 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut seorang jurucakap pengurusan bencana hari ini, lapor Xinhua.
“Antara mangsa yang terkorban tahun ini ialah 11 perempuan dan tiga kanak-kanak,” kata jurucakap Jawatankuasa Nasional bagi Pengurusan Bencana (NCDM), Soth Kim Kolmony.
Selain kematian, panahan petir juga mencederakan 53 orang lain dan membunuh 71 lembu ternakan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, katanya.
Wilayah yang mencatatkan jumlah panahan petir tertinggi ialah Siem Reap, Battambang, Banteay Meanchey dan Preah Sihanouk.
Untuk mengelak bahaya panahan petir, Kolmony menasihati orang ramai, terutamanya di kawasan luar bandar, agar berada di dalam rumah atau tempat perlindungan ketika ribut atau hujan.
Selain korban panahan petir, kebakaran mengorbankan 22 orang manakala ribut meragut lima nyawa dalam tempoh sama tahun ini, menurut Kolmony. – Bernama
