31 orang masih menjalani kuarantin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, pada masa ini, seramai 31 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 2,792 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 245 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 25,323 ujian.

Berhubung mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa setakat ini seramai 384,572 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 9,051 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth, manakala itu sebanyak 4,820 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan sekali lagi menasihatkan semua premis untuk memuat turun aplikasi PremiseScan bagi memudahkan pengimbasan kod QR terutama sekali kepada orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sesi sidang media tersebut. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.