31 pegawai generasi baharu ABDB diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seramai 31 orang pegawai diraikan dalam Majlis Tamat Pengajian Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Sesi 08/2018 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menekankan, pencapaian Akademi Pertahanan sejak penubuhannya adalah kejayaannya untuk menghasilkan generasi baharu pegawai berkelayakan yang lebih tinggi.

Kursus Maktab Turus di Akademi Pertahanan ini, ujarnya, telah menjadi integral dalam memperkuatkan diplomasi pertahanan dan salah satu daripada tujuh bidang hasil utama yang dikongsi beliau semasa ucapannya pada Majlis Mesyuarat Negara 2018, memandangkan terdapat 14 pegawai antarabangsa antara graduan tahun ini.

Beliau juga mengingatkan mengenai nilai pendekatan keseluruhan negara dan pencapaian sumber manusia yang berkualiti tinggi sebagai satu sumbangan kepada matlamat dan pencapaian wawasan 2035.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi yang hadir selaku tetamu kehormat.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah bagi Kategori RBAF CSC Commendation kepada Awang Hasnul Alwe.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah bagi Kategori ‘RBAF CSC Overall Excellence’ kepada Mejar Ee Pinn Hwee Joe.

Mengambil contoh daripada pengajaran hijrah Nabi SAW, beliau berkata, “Hijrah bukan sahaja perjalanan fizikal dari satu tempat ke tempat lain malah ia mempunyai makna yang lebih mendalam dan lebih bermakna iaitu peralihan dari satu keadaan kepada yang lain.

“Dalam konteks ini, para pegawai pada awalnya mempunyai kurang pengetahuan kepada keadaan yang berpelajaran,” ujarnya.

Beliau seterusnya menasihati para graduan untuk bersikap rendah diri dan menggunakan pengetahuan itu dengan baik.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin bersama Pengurus Perhubungan Brunei dari Centre for Defence and Security Studies, Massey University, New Zealand, Phil Morrison turut menyampaikan beberapa anugerah.

Anugerah ‘RBAF CSC Commendation’ dimenangi oleh 673 Mejar (U) Hasnul Alwe bin Haji Matassan dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); anugerah ‘RBAF CSC Overall Excellence’ diraih oleh Mejar Ee Pinn Hwee Joe dari Tentera Udara Republik Singapura dan anugerah ‘Massey University’s Academic Excellence’ diraih oleh Komander Ian Fyfe-Green dari Royal Navy.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, pemerintah angkatan tentera, para pesuruhjaya tinggi dan duta luar negara, perwakilan kedutaan luar negara di Negara Brunei Darussalam, penasihat dan atase pertahanan di Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, komandan, pengarah, pegawai kanan dan ahli keluarga peserta kursus.

Kursus tahun ini disertai oleh pegawai-pegawai dari ABDB, PDB, Jabatan Perdana Menteri dan 14 orang peserta antarabangsa dari India, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Berlangsung selama 40 minggu, kursus berkenaan dikendalikan bersama Universiti Massey, New Zealand dan bertujuan untuk meluaskan lagi pengetahuan profesional dan akademik dan meningkatkan kemahiran arahan, analitis, komunikasi pegawai peringkat pertengahan bagi mempersiapkan mereka untuk lantikan yang lebih tinggi.