Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    31 pegawai masjid tamat bengkel

    Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Gambar oleh Daniel Lim

    BELAIT, 11 MEI – Seramai 31 orang pegawai masjid Daerah Belait terdiri daripada imam dan bilal telah menerima sijil tamat Bengkel Kaifiat Ketika Menjadi Muazin dan Mengimam pada majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Bengkel anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Muhammad Jamalul alam, Kuala Belait itu telah dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

    Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Akup bin Haji Lamat selaku pengerusi acara itu turut berkongsi bagaimana bengkel itu juga menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara imam dan bilal di seluruh daerah sebagai tambahan kepada kekayaan ilmu yang dibincangkan.

    “Sebagai iman dan bilal masjid, kita adalah contoh bagi jemaah yang lain, terutama semasa waktu solat dari segi rukun, bacaan dan tajwidnya,” katanya.

    Antara pengisian bengkel yang diadakan selama sehari tersebut ialah bagi membetulkan sebutan huruf, mengenalkan kaifiat yang sempurna dan disertai dengan tunjuk caranya.
    Tujuan lainnya adalah untuk memberikan peluang kepada pegawai-pegawai masjid mendalami ilmu kaifiat menjadi muazin dan imam.

    Selain itu, ia bertujuan untuk melahirkan pegawai masjid yang boleh menjadi contoh kepada jemaah sekali gus dapat melahirkan kebolehpercayaan kepada pihak jabatan dan kementerian.

    Semoga dengan adanya bengkel seumpama ini diharapkan akan dapat memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada pegawai-pegawai masjid khususnya dalam mereka menjalankan tugas di masjid-masjid.

    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
    Haji Haslan semasa menyampaikan bengkel.
    Antara pegawai masjid yang hadir pada bengkel tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda