Friday, December 20, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    31 pelajar sertai aktiviti kembara Bukit Sipatir

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dan memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar, seramai 31 orang peserta terdiri daripada pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengambil bahagian dalam aktiviti kembara, EIASA x ES Hiking yang berlangsung di Bukit Sipatir, hari ini.

    Aktiviti kembara berkenaan telah dianjurkan oleh Ketua Eksekutif Hal Ehwal Antarabangsa (EIASA) dan Duta Pelajar UBD, Dayang Amni Syazwani binti Ahmad Hanafi de-ngan kerjasama Eksekutif Sukan (ES) UBD.

    Para peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu adalah termasuk 14 orang pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di UBD dan tiga orang pelajar antarabangsa dari UTB di mana mereka terdiri daripada pelajar sarjana muda, sarjana dan pelajar PhD.

    Aktiviti dimulakan dengan para pelajar berkumpul di The Core, UBD dan diikuti dengan taklimat dan sesi pemanasan badan yang diketuai oleh Dayang Amni Syazwani.

    Kumpulan seterusnya memulakan aktiviti kembara mendaki Bukit Sipatir yang dipimpin oleh Awang Muhammad Afiq Muizzuddin bin Zulhilmi dengan kumpulan pelajar berjaya untuk mendaki sejauh 2.62 kilometer di Bukit Sipatir dalam masa 1 jam 20 minit.

    Acara itu bermatlamat untuk menggalakkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 iaitu memberi peluang aktiviti luar yang mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan, sambil mengukuhkan kemahiran kerja berpasukan dan kerjasama antara peserta.

    ES memberikan pandangan berharga dalam menganjurkan aktiviti yang mengutamakan kecergasan manakala EIASA memastikan aktiviti berkenaan adalah inklusif serta menyokong pengalaman pelajar antarabangsa.

    Ia juga dihasratkan untuk menggalakkan SDG 4 iaitu memudahkan interaksi antara budaya dan membina hubungan antara pelajar antarabangsa dan anggota eksekutif dengan memupuk hubungan peribadi dan profesional serta menggalakkan SDG 15 iaitu mening-katkan kesedaran alam sekitar dan pembangunan kepimpinan di mana para peserta dibimbing oleh anggota eksekutif untuk menghargai alam semula jadi sambil mempromosi pembangunan kepimpinan.

    Menerusi aktiviti berkenaan, ia juga menggalakkan kerjasama antara EIASA dan ES dengan menggabungkan kepakaran dalam sukan dan budaya untuk memastikan bahawa para peserta mendapatkan pengalaman yang menyeluruh.

    Para pelajar bergambar ramai setelah berjaya mencapai puncak Bukit Sipatir. – GAMBAR SERAHAN ES UBD
    GAMBAR SERAHAN ES UBD
    Para pelajar bergambar ramai sebelum memulakan aktiviti. – GAMBAR SERAHAN ES UBD
    GAMBAR SERAHAN ES UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda