Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    31 sertai program perkasa pendidikan TVET guna AI

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seramai 31 peserta yang terdiri daripada 23 pegawai pendidikan serantau dari 11 negara anggota SEAMEO dan Republik China serta lapan pendidik TVET tempatan, telah menyertai Program Latihan Serantau Hibrid Generative AI for TVET Educators anjuran SEAMEO VOCTECH Regional Centre.

    Program berkenaan berlangsung secara dalam talian dari 4 hingga 6 November dan diteruskan secara bersemuka dari 17 hingga 22 November di SEAMEO VOCTECH, Brunei.

    Program berkenaan yang melabuhkan tirainya kelmarin bertujuan memperkasa pendidik TVET dengan kemahiran praktikal dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif yang selaras dengan piawaian UNESCO dan ASEAN Digital Masterplan 2025.

    Para peserta turut menghasilkan garis panduan bilik darjah, rancangan pengajaran berasaskan AI serta pelan tindakan institusi yang beretika bagi mengukuhkan ketahanan digital, pembelajaran sepanjang hayat dan kerelevanan tenaga kerja.

    Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh, yang menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada para peserta. Turut hadir menyaksikan penyampaian sijil ialah Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, timbalan pengarah, pihak pengurusan serta pakar-pakar pusat berkenaan.

    Program intensif lapan hari ini dikendalikan oleh Pakar IT dan Penyelaras Program SEAMEO VOCTECH, Dr Ikhwan Jambak, bersama Pegawai Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Awang Muhd Syafiq Hj Abu Bakar.

    Kedua-duanya membimbing peserta meneroka aplikasi AI generatif dalam reka bentuk kurikulum, pedagogi, sokongan pelajar serta pentadbiran institusi berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan dan akauntabiliti.

    Antara pengisian utama ialah forum Safeguarding Academic Integrity in the Generative AI Era: From Risk to Responsible Practice yang menampilkan Pegawai Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Awang Muhd Syafiq Hj Abu Bakar; Pakar Teknologi Pendidikan, Universiti Brunei Darussalam, Dr Hajah Syamimi Hj Md Ariff Lim dan Pakar Perlindungan Data Peribadi, AITI, Farah Atiyah binti Hj Zainal Abidin.

    Forum tersebut dikendalikan oleh Pemangku Pengurus Penyelidikan SEAMEO VOCTECH, Dr Hartini binti Haji Mashod, yang mengetengahkan perbincangan mengenai perubahan prinsip integriti akademik dalam era teknologi baharu serta isu etika seperti bias, plagiat dan penyalahgunaan data dalam penulisan akademik berasaskan AI.

    Selain sesi latihan, para peserta turut mengikuti lawatan pendidikan ke AITI bagi mendapatkan pendedahan mengenai Brunei’s Guide on Artificial Intelligence Governance and Ethics dan Personal Data Protection Order 2025. Program turut diserikan dengan lawatan budaya yang memberikan pengalaman terhadap warisan Brunei serta memupuk hubungan rentas budaya.

    Melalui penganjuran tersebut, SEAMEO VOCTECH terus memperkukuhkan komitmennya dalam memajukan pendidikan TVET yang inovatif dan inklusif, sekali gus menyediakan para pendidik dengan kemahiran yang diperlukan dalam ekosistem digital masa kini.

     Semua di atas : Antara penerima sijil.

    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEAMEO VOCTECH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda