Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    311 pelajar baharu Maktab Sains akhiri orientasi

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Seramai 311 orang pelajar Tahun 7 bagi sesi 2022 telah menamatkan program orientasi selama tiga hari di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Maktab Sains, hari ini, program orientasi yang telah berjalan dari 24 hingga 26 Januari itu bermatlamat untuk menyebarkan maklumat dan aktiviti yang berkaitan dengan komuniti pelajar.

    Majoriti pelajar telah me-nerima suntikan vaksin dengan lengkap dua dos sementara bagi yang belum menerima dos suntikan lengkap dikehendaki mengikuti pembelajaran dalam talian untuk sementara waktu.

    Sebagai mengikuti prosedur operasi standard (SOP), para pelajar yang terlibat juga dikehendaki menjalani ujian ART setiba mereka di kolej tersebut.

    Pengetua Maktab Sains, Dayangku Hajah Norhasima binti Pengiran Haji Hassan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari pertama orientasi, menyeru para pelajar supaya mematuhi visi dan misi kolej untuk menggapai potensi tertinggi mereka dalam
    akademik dan pembangunan holistik sebagai anak bangsa negara sebelum diteruskan dengan laungan bacaan ikrar daripada pelajar-pelajar baharu demi merakamkan perjanjian untuk menegakkan cita-cita dan prestasi kolej.

    Selain itu, para pelajar turut diketengahkan mengenai maklumat merangkumi garis panduan akademik, kokurikulum dan disiplin.

    Pada hari-hari seterusnya, mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kaunseling dan daya kreatif; lawatan persekitaran kolej; pengagihan buku teks; dan sesi pertemuan bersama guru tingkatan masing-masing sebelum memulakan sesi pembelajaran.

    Dayangku Hajah Norhasima ketika menyampaikan ucapan pada hari pertama orientasi untuk pelajar baharu Tahun 7, baru-baru ini.
    Seramai 311 orang pelajar Tahun 7 bagi sesi 2022 membaca ikrar semasa sesi orientasi di Dewan Auditorium Maktab Sains, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda