Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    315 pelajar khatam dirai

    Oleh Normazlina M.D

    KUALA BELAIT, 29 Nov – Seramai 315 orang (138 lelaki dan 177 perempuan) peserta Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) yang terdiri daripada murid-murid Darjah Pra hingga 5 (usia 12 tahun) dari sekolah-sekolah agama Daerah Belait telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Pusat Insani, Seria, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

    Majlis kemudian diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga An-Nas oleh para peserta khatam, bacaan takhtim oleh guru-guru agama perempuan Daerah Belait dan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh salah seorang peserta khatam serta persembahan Dikir Marhaban oleh guru-guru agama lelaki Daerah Belait.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan merenjis minyak wangi dan penyampaian sijil khatam oleh tetamu kehormat majlis dan para jemputan khas serta para ibu bapa dan penjaga peserta. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Program 1M1J yang bermula awal Februari hingga 31 Oktober dilaksanakan bagi mendokong dan menjunjung tinggi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana pendidikan agama khususnya Al-Quran peringkat asas perlu dititik beratkan agar ia kukuh dan mantap.

    Program berkenaan telah banyak menyumbang pertambahan bilangan murid persekolahan agama yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.

    Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran berkenaan diadakan untuk memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran murid-murid di sekolah agama menerusi amalan membaca Al-Quran secara bertalaqqi sekali gus menyuntik dan mendidik murid-murid agar sentiasa membaca, mencintai, mendengar Al-Quran sebagai amalan harian mereka. Ia juga boleh melahirkan murid-murid yang dapat menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid dan lancar seawal usia muda.

    Antara pelajar khatam yang diraikan pada majlis tersebut. – Gambar oleh Daniel Lim

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda