Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Seramai 32 peserta yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis Daerah Temburong menyertai Bengkel Fardhu Kifayah: Pengurusan Jenazah lelaki dan wanita yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong kelmarin.
Bengkel anjuran Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berkenaan dikendalikan oleh Imam masjid, Awang Noriezam bin Zaini bersama bilal masjid, Awang Mohd Fairuz bin Haji Suhaile.
Turut menghadiri dalam bengkel berkenaan ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, DSP Shamsulariffin bin Haji Abdul Wahab.
Tujuan bengkel diadakan adalah untuk meningkatkan pemahaman serta kemahiran peserta dalam melaksanakan pengurusan jenazah dengan betul mengikut tuntutan syariat Islam. Peserta didedahkan dengan aspek teori dan praktikal, termasuk cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan, serta mengebumikan jenazah dengan sempurna.
Bengkel diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta bengkel serta cenderahati kepada wakil masjid sebagai tanda penghargaan. Diharapkan penganjuran bengkel seperti ini dapat terus diperkasakan agar lebih ramai pihak mendapat manfaat, sekali gus meningkatkan kecekapan anggota PPDB dalam mengendalikan urusan fardhu kifayah dalam komuniti.
Semua di atas: Antara aktiviti semasa bengkel berkenaan.