Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 belum pohon Sijil Halal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Sebanyak 87 buah premis makanan telah diperiksa dan 32 daripadanya telah didapati belum membuat permohonan Sijil Halal dalam operasi rondaan yang dijalankan oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah di kawasan Serusop, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), premis-premis berkenaan telah dikeluarkan notis untuk menghadapkan permohonan dalam tempoh enam bulan.

    Operasi yang dijalankan bagi menguatkuasakan peruntukan Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 itu antara lain bertujuan bagi memastikan semua pengusaha makanan di kawasan tersebut sudah membuat permohonan Pensijilan Halal sebagaimana undang-undang yang berkuat kuasa di bawah perintah berkenaan sejak dipinda pada 2017.

    KHEU menegaskan bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi perniagaan makanan yang beroperasi di negara ini adalah mandatori.

    Di samping itu, pemegang Sijil Halal dan Permit Halal juga adalah diingatkan supaya sentiasa memastikan Sijil Halal dan Permit Halal masih sah dan hendaklah menghadapkan permohonan untuk pembaharuan sijil dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh mansuh.

    Pegawai penguat kuasa telah mengeluarkan notis kepada beberapa buah premis makanan semasa operasi rondaan yang dijalankan di kawasan Serusop, baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda