Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 individu dibicarakan berhubung kebakaran Hotel Grand Kartal

    ISTANBUL, 7 JULAI – Seramai 32 individu dibicarakan di Turkiye hari ini, berhubung insiden kebakaran di sebuah hotel mewah di pusat peranginan ski pada Januari lalu yang telah mengorbankan 78 nyawa, termasuk 36 kanak-kanak, lapor media tempatan.

    Seluruh keluarga terkorban apabila api marak memusnahkan Hotel Grand Kartal di pusat peranginan pergunungan Kartalkaya, utara negara itu, pada awal pagi, 21 Januari.

    Pelbagai persoalan timbul mengenai langkah keselamatan kebakaran di hotel tersebut, manakala keluarga mangsa mendakwa kecuaian menyumbang kepada angka korban yang tinggi.

    Lebih 130 orang cedera dalam kejadian itu dan bangunan 12 tingkat tersebut telah musnah sepenuhnya.

    Tiga belas individu yang tertuduh, termasuk pegawai kanan hotel, jabatan bomba dan majlis perbandaran yang akan berdepan hukuman penjara sehingga 1,998 tahun setiap seorang atas 78 pertuduhan, termasuk ‘pembunuhan dengan kemungkinan niat’.

    Ahli keluarga meratapi pemergian lapan mangsa yang terkorban dalam kebakaran besar di pusat peranginan ski Kartalkaya, Turkiye, di Bolu pada 22 Januari. – AFP

    Mangsa yang terselamat dan pakar turut menyatakan sistem penggera kebakaran hotel tidak berfungsi ketika kejadian.

    Menurut kertas pertuduhan, antara tertuduh yang berdepan pertuduhan membunuh termasuk pemilik hotel, pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah, timbalan datuk bandar Bolu, serta dua pegawai bomba.

    Sebelum perbicaraan, keluarga mangsa berkumpul di hadapan Sekolah Tinggi Bolu, tempat perbicaraan berlangsung, sambil membawa gambar insan tersayang yang telah terkorban akibat insiden tersebut.

    Ahli keluarga mangsa turut membacakan kenyataan bersama yang mendakwa pelbagai pelanggaran keselamatan serta usaha untuk menyembunyikan bukti.

    Pada waktu kejadian, kementerian pelancongan dan majlis perbandaran Bolu saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

    Disebabkan jumlah tertuduh dan pihak plaintif yang ramai iaitu seramai 210 pihak awam terlibat, Mahkamah Jenayah Tinggi Bolu terpaksa menjalankan sidang di dewan sukan sekolah tinggi tersebut.

    Menurut kenyataan parti sosial demokratik itu, ketua parti pembangkang utama CHP, Ozgur Ozel, turut dijangka hadir dalam sesi perbicaraan. Perbicaraan dijangka akan berlangsung selama dua minggu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda