LARISSA, GREECE, 1 MAC – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 85 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung berhampiran bandar Larissa di Greece, kata pihak berkuasa, ketika perkhidmatan kecemasan bergegas untuk menyelamatkan mangsa antara serpihan yang hangus.
Beberapa gerabak hampir musnah sepenuhnya dalam perlanggaran antara kereta api penumpang dan kereta api kargo sebelum tengah malam Selasa.
Sekurang-kurangnya sebuah gerabak kelihatan terbakar dan memerangkap para penumpang.
Asap dan api muncul dari beberapa buah gerabak, beberapa daripadanya telah terbalik apabila ia tercampak dari landasan akibat pelanggaran tersebut, mengakibatkan besi dan kaca pecah berselerakan.
Kereta api penumpang yang membawa 350 penumpang membuat perjalanan dari ibu kota Athens ke bandar utara Thessaloniki.
Media Greece berkata ia membawa ramai pelajar pulang ke Thessaloniki selepas cuti hujung minggu yang panjang.
Kira-kira 150 anggota bomba dan 40 ambulans telah dikerah menurut perkhidmatan kecemasan Greece. Kira-kira 194 orang telah diselamatkan setakat ini.
Tetapi jumlah korban dijangka meningkat apabila kren dan penyelamat bekerja memunggah serpihan.
Masih belum diketahui mengapa kedua-dua kereta api itu berlanggar dan media tempatan menggelar insiden tersebut sebagai ‘kemalangan kereta api yang paling teruk yang pernah diketahui oleh Greece’.
Presiden kesatuan pemandu kereta api OSE, Kostas Genidounias memberitahu AFP dari tempat kejadian bahawa kedua-dua kereta api itu telah berakhir di landasan yang sama dan bertembung secara berdepan.
Satu mesyuarat tergempar kerajaan telah diadakan selepas nahas itu. Menteri Kesihatan Greece, Thanos Plevris hadir di tempat kejadian, manakala Menteri Dalam Negeri, Takis Theodorikakos mengawasi respons daripada pusat pengurusan krisis. – AFP