PESHAWAR, 29 JUN – Hujan lebat dan banjir kilat di seluruh Pakistan telah meragut 32 nyawa termasuk 16 kanak-kanak sejak bermulanya musim monsun minggu ini, menurut pegawai pengurusan bencana.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelmarin oleh pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah Khyber Pakhtunkhwa, banjir kilat dan runtuhan bumbung dalam tempoh 36 jam lalu telah mengorbankan 19 orang, termasuk lapan kanak-kanak.
Daripada jumlah keseluruhan korban, 13 kematian dilaporkan berlaku di Lembah Swat di barat laut negara itu.
Kira-kira 13 lagi mangsa maut di wilayah timur Punjab sejak Rabu, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah tersebut.
Lapan daripada mangsa yang terkorban adalah kanak-kanak yang maut apabila dinding dan bumbung rumah mereka runtuh akibat hujan lebat.
Banjir di wilayah Khyber Pakhtunkhwa juga telah merosakkan 56 rumah, dengan enam daripadanya musnah sepenuhnya, kata pihak berkuasa bencana.
Perkhidmatan kaji cuaca kebangsaan memberi amaran bahawa risiko hujan lebat dan banjir kilat dijangka kekal tinggi berkemungkinan sehingga hari Selasa.
Bulan lalu, kira-kira 32 orang terbunuh akibat ribut teruk di negara Asia Selatan itu, yang mengalami beberapa kejadian cuaca ekstrem sepanjang musim bunga, termasuk ribut hujan batu yang kuat.
Pakistan merupakan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dan 240 juta penduduknya semakin kerap berdepan kejadian cuaca melampau. – AFP


