YAOUNDE, 17 NOV – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh apabila sebuah jambatan di kawasan lombong tembaga di Republik Demokratik Congo roboh, menurut seorang pegawai kerajaan wilayah kelmarin.
Bercakap kepada pemberita, Menteri Dalam Negeri Wilayah, Roy Kaumba Mayonde, berkata insiden yang berlaku pada Sabtu itu berpunca daripada ‘pelombong yang melintas secara tergesa-gesa’, sehingga menyebabkan jambatan sementara itu roboh ke dalam parit, lapor agensi Anadolu.
Beliau berkata siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas tragedi berkenaan.
“Walaupun terdapat larangan memasuki kawasan itu berikutan hujan lebat dan risiko tanah runtuh, pelombong haram tetap menceroboh masuk ke kawasan lombong,” katanya. – Bernama


