Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Seramai 32 orang pelajar di Sekolah Ugama Pantai Berakas, Brunei IIB diraikan dengan Majlis Khatam Al-Quran, kelmarin yang berlangsung di Dewan Anak-anak Wira, sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan sekali gus menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta khatam ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion Pertama, Tentera Darat Diraja Brunei, Mejar Rudie Asmawi bin Abidin.
Para pelajar Darjah 6 yang diraikan itu terdiri daripada 20 lelaki dan 12 perempuan yang menandakan tamatnya bacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas oleh para peserta khatam.

Bacaan Takhtim kemudiannya dilaungkan oleh para pelajar perempuan diikuti dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Awang Aiman Syafiq @ Daniel bin Haji Saham.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Asyrakal oleh pelajar lelaki dan diiringi dengan majlis penyampaian sijil dan menabur bunga rampai serta merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat diikuti oleh para jemputan yang hadir.
Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mohd Zulkhairy bin Haji Emran.