Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seramai 32 orang pelajar telah menyertai dan berjaya menamatkan Program Jati Diri ‘Itqan’ serta diraikan dalam Majlis Penutup Program Jati Diri ‘Itqan’ yang berlangsung di Dewan Teater 2, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penutup program berkenaan serta menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 10 Jun hingga 13 Jun telah disertai oleh seramai 32 orang pelajar yang telah berjaya menerima Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Twinning Programme dari Universiti Brunei Darussalam yang akan mengikuti Kursus Perubatan dan Pergigian ke luar negeri sesi 2024/2025.
Program empa hari itu, diisikan dengan Taklimat Aturan dan Peraturan Biasiswa, Ceramah Motivasi, Aktiviti Team Building, Taklimat Pengurusan Stress/Emosi, Aktiviti Fizikal, Taklimat dari Sumber Tenaga Manusia Kementerian Kesihatan.
Selain itu, sesi kongsi sama bersama Junior Doctors yang telah menamatkan pengajian dan sesi perkongsian ilmu dan maklumat-maklumat terkini turut diadakan, sebagai sebahagian daripada persediaan para pelajar sebelum menjalani pengajian di luar negara.