Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 pengakap terima lencana

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Setelah melalui latihan selama 15 minggu dalam hasrat untuk mendalami ilmu kepimpinan dan kemahiran berpengakap, seramai 32 orang ahli pengakap Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang baru ditubuhkan pada 7 Ogos 2019 telah dianugerahkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dan pemakaian skaf pengakap serta epolet pengakap kelana dalam istiadat khas kepada ahli-ahli pengakap yang berlangsung di UNISSA, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili.

    Keahlian pengakap bagi ahli-ahli pengakap kelana bermula dari usia 18 tahun hingga 26 tahun atau bagi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi, maktab atau golongan belia.

    Lencana Keahlian Pengakap Sedunia merupakan salah satu lencana atau ujian yang wajib diikuti oleh semua ahli pengakap baharu. Semua kehendak yang diperlukan dalam ujian berkenaan terkandung dalam buku Dasar Pertubuhan dan Aturan (POR) Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).

    Sebelum ahli-ahli pengakap kelana lulus, yang juga dikenali sebagai SQUIRE dalam ujian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia, mereka diberikan latihan yang berterusan dan pengetahuan berpengakap oleh pemimpin pasukan pengakap kelana dan jurulatih-jurulatih pengakap yang mahir dalam bahagian pengakap kelana.

    Dr Haji Hambali memasangkan epolet pengakap kelana kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan PPNBD

    Sebelum majlis itu, ahli-ahli pengakap kelana UNISSA di bawah pengawasan Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat selaku penyelaras pasukan pengakap kelana UNISSA telah menjalani sesi latihan kepimpinan dan kemahiran yang telah dijalankan selama 15 minggu unutk ahli-ahli pengakap kelana yang baharu bagi mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia.

    Ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA juga telah mengikuti kursus kepimpinan jati diri dan istiadat melantik ahli Pengakap Kelana yang dijalankan bertempat di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong.

    Ia dihasratkan boleh melahirkan ahli-ahli pengakap kelana UNISSA yang berkualiti serta memiliki kekuatan mental dan fizikal untuk menempuhi segala cabaran serta dibimbing supaya melakukan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan agar mereka menjadi insan berakhlak mulia dalam melahirkan masyarakat yang harmoni.

    Matlamat utama kursus kemahiran jati diri berkenaan adalah untuk membentuk sifat-sifat kecekalan dan ketahanan diri serta mental ahli-ahli dalam menghadapi sebarang cabaran yang di luar kebiasaan mereka.

    Di akhir kursus berkenaan, ahli-ahli telah dilantik secara rasminya sebagai ahli pengakap kelana dalam majlis Istiadat Melantik ahli Pengakap Kelana (VIGIL).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda