Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 petugas hadir taklimat jenayah pemerdagangan manusia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) telah diberikan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kepada 32 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan ahli pangkat rendah Polis Marin (PolMar), PPDB di bilik syarahan ibu pejabat Polis Marin kelmarin.

    Taklimat berkenaan bertujuan memberikan pengetahuan lebih mendalam kepada petugas dalam mengenal pasti elemen-elemen dan petunjuk mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam.

    Ia amat penting bagi petugas yang bertugas di perairan atau sempadan air, khususnya sekiranya terdapat tangkapan yang mungkin melibatkan eksploitasi mangsa bagi tujuan pelacuran, perhambaan, buruh paksaan atau penjualan organ badan.

    Antara kandungan taklimat ialah penerangan mengenai fungsi dan peranan USPM, serta perkongsian kajian kes-kes pemerdagangan orang yang telah berjaya dihadapkan ke muka pengadilan, sejak penubuhan USPM pada 16 Ogos 2011.

    Taklimat disampaikan oleh pegawai dan anggota USPM, yang turut memberikan panduan praktikal serta perkongsian pengalaman untuk meningkatkan keupayaan petugas Polis Marin dalam mengenal pasti dan menangani kes-kes berkenaan secara efektif.

    Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan pihak berkuasa untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang di negara ini serta memastikan keselamatan masyarakat di perairan dan sempadan negara.

    Semua di atas: Antara suasana semasa taklimat berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda