ASTANA, KAZAKHSTAN, 25 DIS – Sebuah pesawat penumpang milik Azerbaijan Airlines yang membawa 67 orang penumpang terhempas hari ini di bahagian barat Kazakhstan selepas tersasar daripada laluannya, menurut pegawai.
Pihak berkuasa Kazakhstan berkata 32 orang terselamat daripada nahas Embraer 190 berhampiran bandar Aktau, hab minyak dan gas di pantai timur Luat Caspian.
Pesawat tersebut dalam perjalanan dari ibu kota Azerbaijan, Baku di pantai barat Caspian menuju bandar Grozny di Chechnya di selatan Rusia.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev memendekkan kunjungannya ke Rusia, di mana beliau dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Pemimpin Komanwel Negara-negara Merdeka, sebuah kumpulan bekas negara Soviet, menurut pejabat beliau dalam satu kenyataan.
“Sebuah pesawat yang dalam perjalanan Baku-Gronzy terhempas berhampiran bandar Aktau. Ia adalah milik Azerbaijan Airlines,” menurut Kementerian Pengangkutan Kazakhstan menerusi Telegram.
Azerbaijan Airlines berkata pesawat itu membawa 62 orang penumpang bersama lima orang kru.
Ia berkata pesawat itu ‘membuat pendaratan cemas’ kira-kira tiga kilometer dari Aktau.
Kementerian Pengangkutan Kazakhstan berkata bahawa 37 orang penumpang pesawat itu adalah dari Azerbaijan, enam dari Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 warga Rusia.
Sementara itu, Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan berkata anggotanya telah memadamkan api yang berlaku ketika pesawat itu terhempas.
“Menurut maklumat awal, 32 orang terselamat termasuk dua kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital,” dedah kementerian.
Ia mengongsikan seramai 150 anggota kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian. Kementerian Kesihatan berkata sebuah pesawat khas telah dihantar dari ibu kota Kazakhstan, Astana membawa doktor pakar untuk merawat mangsa yang cedera. – AFP