Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 MAC – Kira-kira 54 orang sukarelawan telah menyertai kempen membersihkan kawasan Pantai Lumut, Kuala Belait, kelmarin, di mana lebih 328kg sampah dikutip.
Hadir pada kempen itu dan turut membantu mengutip sampah ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang disertai oleh ahli-ahli Oiltown Safety Committee, para pelajar dan sukarelawan dari institusi-institusi berlainan.
Dengan sampah-sampah yang dikumpulkan kebanyakannya merangkumi botol-botol plastik, pemetik api, jala, pembungkus makanan dan puntung rokok, lebih 53 beg sampah telah digunakan yang kemudiannya diangkut oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan untuk dilupuskan.
Dianjurkan oleh Green Depot, projek oleh Green Brunei yang berpangkalan di Daerah Belait, kempen itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan alam sekitar kesan sampah kepada ekosistem, terutamanya kepada masyarakat di daerah ini.
Di samping itu, kempen juga bertujuan untuk mengetengahkan mengenai bagaimana usaha kecil iaitu mengutip dan memastikan sampah dibuang dengan teratur, memainkan peranan penting dalam memelihara pantai, persekitaran laut dan hidupan marin.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/page-7-1Green-5_30032021.jpg)