Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Al-Huffaz Management (GenQu) dengan kerjasama Sekretariat Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Anak-anak Yatim dan Bersungkai di Restoran Tiong Jaya, Kilanas, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 33 orang anak yatim pada majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Kilanas, Awang Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid.
Dalam pada itu, Pengasas GenQu, Haji Mohd Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan menjelaskan inisiatif majlis berkenaan bukan sekadar memberikan bantuan tetapi juga meraikan bulan Ramadan dengan menguatkan nilai-nilai kasih sayang, kemurahan hati dan perpaduan.
“Kita diingatkan bahawa tanggungjawab kita adalah untuk saling menyokong antara satu sama lain, terutama mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Beberapa perniagaan tempatan turut menyumbang kepada inisiatif sumbangan berkenaan dalam usaha menyokong golongan yang kurang bernasib baik.
