Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Seramai 33 orang ibu bapa yang terpilih dari Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) Kementerian Kesihatan telah menyertai kursus latihan untuk Ibu bapa dengan tajuk Perkembangan Kemahiran Ibu Bapa / Penjaga Autisme & Kaedah Komunikasi yang berlangsung di Kolej HAD Tech, Beribi Telanai Avenue, baru-baru ini.
Kursus latihan buat kali ke-3 itu telah dijayakan oleh Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan dan CDC, Kementerian Kesihatan.
Kursus latihan bertemakan Komunikasi Efektif Pemangkin Keharmonian itu bertujuan bagi membantu ibu bapa untuk mendapatkan pelbagai strategi, mendapatkan kaedah, mempunyai pelbagai kemahiran, asas pendekatan, amalan terbaik yang boleh diguna pakai semasa mereka berada di rumah bersama dengan anak-anak mereka, yang berkeperluan khas khususnya Autisme.
Antara yang hadir menyaksikan kursus pada hari tersebut ialah Presiden FITRAH, Hajah Norjum binti Haji Yusop yang sekali gus menyempurnakan sijil kepada para peserta kursus.
Kursus latihan telah disampaikan oleh Konsultan Pertuturan dan Pakar Juru pulih Pertuturan dari Kidz Discovery World (KDW), Brunei Darussalam, Dayang Wati binti Haji Bujang.
Kursus berkenaan juga disesuaikan dengan peranan FITRAH yang ditubuhkan pada tahun 1996 bagi membantu pendidikan berterusan kepada pelajar dan ibu bapa berkeperluan khas.
Menurut beberapa orang daripada peserta yang hadir semasa sesi soal jawab, mereka berpuas hati dengan kursus yang dijayakan oleh pihak FITRAH. Mereka mencadangkan supaya kursus dilanjutkan lagi di masa akan datang.
Kursus berkenaan sekurang-kurangnya dapat membantu ibu bapa berinteraksi dengan konsultan tempatan yang dijemput oleh persatuan FITRAH. Ibu bapa berpeluang berinteraksi secara dekat bagi mendapatkan bantuan buah fikiran yang diperlukan lebih-lebih lagi melihat anak-anak mereka yang sudah mencapai usia remaja. Pelbagai kaedah yang mereka perlukan dalam masa terdekat.
Ibu bapa mengharapkan supaya kursus berkenaan dapat dilanjutkan pada masa akan datang dan membukakan peluang kepada ibu bapa yang lain. Persatuan FITRAH mengharapkan pendidikan berterusan dapat sambutan yang terbaik daripada ibu bapa sesuai bagi mengatasi pelbagai cabaran.