33 langgar arahan Ops Pulih

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sebanyak 33 pelanggaran arahan jangan keluar rumah telah dicatatkan hasil pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan dalam Operasi Pulih dari 8 malam hingga 4 pagi tadi di seluruh negara dan telah dikeluarkan kompaun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan, daripada jumlah berkenaan, 23 kesalahan kerana melanggar arahan teranah di rumah, lima kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth dan lima lagi bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa Daerah Brunei dan Muara telah mencatatkan pelanggaran arahan tertinggi dengan 17 kompaun telah dikeluarkan hasil daripada rondaan dan enam kompaun hasil daripada sekatan jalan raya.

Manakala itu, Daerah Belait mencatatkan 10 kompaun dikeluarkan hasil daripada rondaan.
Daripada jumlah tersebut, jumlah keseluruhan kompaun daripada rondaan di seluruh negara adalah 27 dan enam kompaun pula hasil daripada sekatan jalan raya.

Pegawai penguat kuasa memeriksa kenderaan dalam Operasi Pulih yang diadakan baru-baru ini.