Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    33 maut akibat hujan lebat di Kinshasa

    KINSHASA, 7 APRIL – Sekurang-kurangnya 33 orang disahkan maut selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir di Kinshasa, bandar Republik Demokratik Congo (DRC), menurut pihak berkuasa awal hari ini, lapor Xinhua.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Jacquemain Shabani berkata hujan lebat yang berlaku sepanjang malam dari Jumaat hingga Sabtu itu telah menyebabkan kerosakan besar di beberapa kawasan di ibu kota, mengakibatkan puluhan cedera dan memusnahkan banyak rumah.

    Sebagai respons, kerajaan telah menubuhkan unit pengurusan krisis dengan kerjasama angkatan tentera, beberapa kementerian dan kerajaan wilayah Kinshasa bagi melaksanakan pemindahan serta menggerakkan pasukan kecemasan.

    Banjir itu telah melumpuhkan sebahagian besar infrastruktur bandar berkenaan, menenggelamkan jalan utama dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta air secara meluas di seluruh bandar.

    Kementerian Pengangkutan melaporkan gangguan teruk di laluan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa N’djili, sehingga mendorong pihak berkuasa menggerakkan perkhidmatan feri kecemasan bagi membantu penumpang yang terkandas.

    Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan terus melanda dalam beberapa hari akan datang, sekali gus menimbulkan kebimbangan akan berlakunya lebih banyak kerosakan di bandar yang berpenduduk 17 juta orang itu.

    Musim hujan di DRC lazimnya bermula dari November hingga Mei. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda